Monday, November 19, 2012

Karangkraf lancar Tabung Kemanusiaan Gaza

Logo Tabung Gaza

SHAH ALAM – Kumpulan Media Karangkraf menggerakkan Tabung Kemanusiaan Gaza-Sinar Harian bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pengarah Urusannya, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tabung ini sudah diwujudkan pada 15 September lalu apabila tokoh pejuang Palestin, Sheikh Raed Solah melawat dan mengadakan ceramah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

Menurutnya, sumbangan pertama dari Yayasan Nur Karangkraf sebanyak RM50,000 akan diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman jam 2 petang ini di Auditorium KMK esok.

Selain Aman Palestin, rakan penyalur lain adalah Aqsa Syarif dan Islamic Relief Malaysia (IRM), sumbangan ini adalah bagi membeli ubat-ubatan ke wilayah Gaza dengan secepat mungkin.

Katanya lagi, Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar Harian ini menyasarkan kutipan RM1 juta dalam masa terdekat dan berharap sumbangan dari seluruh lapisan masyarakat yang prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin.

“Karangkraf memilih tiga NGO ini kerana mereka mempunyai infrastruktur dan komunikasi yang sudah ada bagi menyalurkan bantuan ini dengan segera.

“Kami juga akan menyerahkan bantuan secara berperingkat kerana jika mahu tunggu sehingga sumbangan penuh, dibimbangkan nasib rakyat Palestin makin sukar,” katanya.

Sejak Rabu lalu, lebih 80 rakyat Palestin terbunuh dan beratus lagi cedera dalam serangan tentera udara dan laut Zionis Israel.

Dianggarkan kira-kira 75,000 askar simpanan Israel bersiap sedia melancarkan pencerobohan darat bagi menghapuskan pergerakan Hamas yang didakwa Zionis Israel sebagai pergerakan pengganas.

Kepada anda yang ingin menderma boleh menyumbang ke akaun Sinar Karangkraf bernombor 506164-019988 atau hubungi Sekretariat Sinar Harian, Wan Norhasfiza Megat Hussain menerusi talian 03-51013820.