Saturday, March 31, 2012

Lagi mayat bayi ditemui

Lagi mayat bayi ditemui


KEPONG - 24 jam selepas penemuan janin bayi di Jinjang kelmarin, satu lagi mayat bayi lelaki cukup sifat masih bertali pusat berserta uri ditemui di perangkap sampah di dalam longkang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, semalam.
Lebih menyayat hati, bahagian muka bayi tersebut kemek dipercayai akibat terhantuk dinding longkang (konkrit) semasa dihanyutkan.

Bayi tersebut ditemui dalam keadaan terlangkup oleh seorang pekerja kontraktor pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan tugas-tugas pembersihan di situ pada jam 11 pagi.

Rafu’si Ahmad, 40, berkata, dia tiba di lokasi jam 10.30 pagi, sedikit lewat daripada kebia­saannya kerana hujan lebat pagi semalam.
Menurutnya, ketika mahu mengaut sampah di lubang perangkap tersebut, dia melihat satu objek terapung dan menyangkanya anak patung.

“Saya kaut ia naik ke atas dan melihat ada tali pusat, baru saya sedar ia adalah mayat bayi.

“Ketika itu saya berasa amat terkejut dan berasa amat kasihan dengan nasib bayi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rafu’si kemudiannya bertindak memanggil seorang pemancing yang berada berhampiran untuk mendapatkan bantuan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bayi tersebut dipercayai dibuang kurang daripada 24 jam daripada masa ditemui.

Katanya, mayat bayi tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, diminta hubungi balai polis terdekat,” katanya.
-SH-
DNR: KEMBALILAH PADA FIKRAH. 

Tuesday, March 20, 2012

Tubuh dipenuhi bulu



BACHOK- Ibu mana yang tidak tersentuh bila melihat anak kandung yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain yang melalui hidup secara normal.

Namun, bagi bagi Asliza Omar,30,keganjilan tubuh anaknya, Nurul Afida Razi,3, yang berbulu diseluruhi badan tidak pernah membuatkan dia merasa rendah diri.

Menurut Asliza,bulu yang ada pada tubuh anak bongsu dari tiga adik-beradik wujud sejak dilahirkan dan menyebabkan dia mempunyai kad kanak-kanak kurang upaya(OKU).

“Sejak lahir lagi, bulu lebat di badan Nurul, namun dia tiada masalah kesihatan melainkan agak lambat bercakap.

“Saya telah merujuk Nurul Afida ke hospital dan setiap enam bulan dia akan dibawa untuk pemeriksaan. Ujian darah telah diambil dan menunggu keputusan daripada pihak hospital,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah di Kampung Changgong,semalam.

Asliza berkata, kali pertama sampel darah Nurul Afida diambil ketika berusia dua bulan, namun setelah dua tahun menunggu keputusan,pihak hospital memaklumkan sampel darah anaknya itu hilang.

Oleh itu katanya, dia membawa Nurul Afida kembali ke hospital terbabit pada 3 Julai 2011 dan temu janji terbarunya pada 9 April nanti.

Asliza berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana keadaan itu boleh berlaku terhadap Nurul Afida, namun tidak kekok untuk membawa anaknya itu ke mana-mana majlis.

Dua lagi adik beradik Nurul Afida, Mohd Zulkifli Hanif,8, dan Nurul Aimi,7 normal dan tidak mengalami kesihatan.

Menceritakan keadaannya, Asliza berkata, dia tidak pernah mengalami kejadian yang pelik semasa mengandungkan Nurul Afida, namun mengakui pernah melihat lembaga semasa berada di pantai.

“Sebulan sebelum saya hamil, beberapa minit sebelum Maghrib, saya bersiar-siar di pantai dan tiba-tiba terlihat satu lembaga seperti seekor kambing yang datang dari arah laut.

“Ia berwarna hitam dan berbulu, saya tidak terkejut atau menegur makhluk itu dan menganggap ia biasa sahaja. Beberapa minggu selepas itulah baru saya hamilkan Nurul Afida,” katanya.

Bagaimanapun, Asliza berkata, keadaan Nurul Afida tidak seteruk yang dihidapi beberapa kes sama yang berlaku di dunia, sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Menurutnya, bulu yang tumbuh pada badan Nurul Afida hanya kelihatan lebat, namun tidak menjejaskan saluran pernafasan atau penglihatannya.

Azliza berkata, dia dan suaminya, Razi Mohd Nor,37 yang bekerja sebagai nelayan reda dengan ketentuan tuhan dan mengharapkan anak itu kembali normal setelah mendapat rawatan dari pihak hospital.

Dalam pada itu, ketika dihubungi,Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu (HRPZ) akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Kejadian di dunia

Untuk rekod kanak-kanak perempuan di Thailand, Supatra Sasuphan,12, berbulu di seluruh badan dipercayai mengidap Sindrom Ambras itu sejenis penyakit akibat genetik kromosom. Mengikut rekod hanya 50 individu di dunia pernah mengidapnya.

Manakala,di Mumbai, India, tiga gadis Aavita,23, Monisha,18, dan Savitri,18, berdepan kemungkinan menjadi anak dara tua akibat pertumbuhan bulu tidak terkawal akibat penyakit Hypertrichosis Universalis.

Mengikut nisbah, penyakit itu dihidap seorang daripada satu bilion penduduk dunia.

Sunday, March 18, 2012

Hasrat terima bantuan terkubur





KUANTAN – Seorang warga emas mendakwa dirinya sering terpinggir daripada menerima sebarang sumbangan pihak tertentu walaupun melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkannya.

Salleh Drameri, 82, yang juga anak tempatan Kampung Panching berkata, dia kecewa apabila namanya sering tidak tersenarai sebagai penerima bantuan di kawasan itu.

“Bukan sahaja kecewa, malah pelik memandangkan sebagai warga emas yang tiada pendapatan tetap, saya diabaikan begitu sahaja.

“Saya juga kecewa kerana jasa saya tidak pernah dikenang terutama kerajaan memandangkan saya pernah berkhidmat sebagai anggota keselamatan untuk menjaga keamanan negara sekitar 1951 hingga 1955.

“Hasrat untuk menerima bantuan dan sumbangan juga kerap terkubur memandangkan sering dikatakan tidak layak,” katanya kepada Sinar Harian.

Terbaru, dia turut kecewa kerana beberapa permohonan bantuan dilakukannya termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia ditolak atas alasan tidak dapat diterima.

“Bukan saya beria meminta bantuan, tetapi pihak tertentu yang menyarankan saya berbuat demikian atas alasan warga emas dan layak.

“Pabila beberapa penduduk kampung ini menerima bantuan, nama saya tetap tiada kerana dikatakan tercicir selain perlu tunggu pada masa akan datang.

“Saya tidak memerlukan kemewahan, cuma bantuan untuk meneruskan kehidupan bersama isteri yang juga warga emas,” katanya.

Sementara itu katanya, dia terpaksa mencari kerja untuk menyara keluarga, namun faktor usia menyebabkan dia hanya mampu membuat kerja-kerja kampung kerana gagal mendapatkan pekerjaan sesuai.

“Setakat ini, saya hanya menerima sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun bantuan lain tidak pernah diperoleh.

“Sekiranya betul-betul tidak layak, saya akur. Namun, saya tidak mahu berhadapan dengan sesetengah pihak yang sudah menabur janji untuk membantu, bagaimanapun apabila sampai masa, mereka hilang entah ke mana. Ada sesetengah daripada mereka pula buat tidak tahu sahaja,” katanya.


Saturday, March 17, 2012

Lahir Dengan Penyakit kronik Nur Zahra Berjuang Untuk Hidup

 

“Kadang-kadang saya pernah tertanya-tanya di hati apa salah dan dosa saya sehingga diuji sebegini hebat sekali. Belum pun terubat kesedihan setelah kehilangan anak sulung, Robbul Izzati Idris awal tahun lalu, kini hati sayu pilu melihat permata kedua juga ditimpa malang seperti arwah kakaknya dulu.


"Sukarnya untuk melalui ujian ini. Ya Allah, tabahkan hatiku dan suami untuk melalui semua ini dengan redha dan pasrah,” rintih Zuraidah Abd Rahman, 25, sambil ditenangkan suaminya, Idris Md. Jadi, 30 tahun.


Tersekat-sekat suaranya menahan sebak ketika meluahkan rasa hati. Sebolehnya, dia mahu permata yang diberi nama Nur Zahra Damia yang baru berusia 17 hari (ketika temu ramah) ini sihat seperti bayi-bayi yang lain. Membesar dengan sihat dan ceria.


Betapa teringin hatinya untuk melayani keletah anak yang sedang membesar. Tapi untuk merasai semua itu, ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Pertama sekali dia perlu berusaha mengumpulkan sejumlah wang untuk pembedahan anaknya.


Nur Zahra, dilahirkan melalui pembedahan. Berbanding arwah kakaknya dahulu, dilahirkan tidak cukup bulan kerana dirinya menghidap kencing manis sebelum melahirkan. Namun, seperti arwah Robbul Izzati yang mengalami masalah jantung, paru-paru dan buah pinggang, Nur Zahra juga menghidap komplikasi kesihatan yang agak banyak.


Paling kronik, anak kecil ini menghidap masalah jantung, yang mana salah satu saluran jantungnya tersumbat. Selain itu Nur Zahra turut berdepan masalah pada buah pinggang dan jari.


“Kata doktor, tumbesaran jari-jarinya tidak seimbang. Jari di bahagian kaki panjang manakala ibu jari tangannya seakan terlipat. Tetapi, syukurlah kerana jari tersebut masih bergerak, tidak terlekat. Kesemua masalah yang dihadapi ini kebanyakan nya melibatkan bahagian tubuh di sebelah kiri.


“Walau apa pun masalah kesihatan yang dihidapi saya tetap bersyukur kerana Nur Zahra lahir cukup bulan dan masalah kesihatannya tidak begitu banyak berbanding dengan arwah kakaknya dahulu.


“Cuma, saya amat berharap pembedahan pada saluran jantungnya itu akan berjaya dan menyelamatkan nyawanya,” kata Zuraidah penuh keredhaan biarpun mengetahui anaknya akan menghadapi masalah perkembangan otak seumur hidupnya.


Terdetik Perasaan Tidak Menyenangkan
Ibu muda ini begitu tabah sekali. Jujurnya dia mengakui, pengalaman lalu juga yang membuatkannya tabah seperti hari ini. Meski pada awalnya, dia sukar untuk menerima hakikat untuk kali ini, namun melihat si kecil yang tidak sempat didakap ataupun disusukan sebaik dilahirkan, Zuraidah perlu tabah. Kekuatan dan semangat juang Nur Zahra juga bergantung kepada emosinya sebagai ibu.


Imbas kembali ketika saat hamil, Zuraidah berkata dia tidak menghadapi masa lah atau komplikasi melainkan dia menghidap kencing manis. Cuma, tahapnya tidak begitu membimbangkan.


“Malah ketika melakukan imbasan bayi, doktor pakar juga tidak mengenal pasti sekiranya bayi dalam kandungan saya menghadapi sebarang masalah kesihatan. Justeru itu, dia tidak begitu bimbang dengan kemungkinan anak keduanya meng alami nasib yang serupa dengan arwah kakaknya.


“Itulah, takdir Tuhan tidak mampu kita tolak. Ketika Nur Zahra lahir, saya tidak diberi peluang untuk dukung mahupun menyusukannya. Hanya suami berpeluang untuk mengazankan di telinga Nur Zahra. Ceritanya, ketika itu dia perasan kaki dan bibirnya biru, seakan lebam. Dalam hati suaminya terdetik dia mungkin ada menghidap masalah kesihatan.


“Saya pula, ternanti-nanti bila jururawat akan bawa anak saya kepada saya. Masuk hari kedua, saya lihat jururawat kerap kali datang bertanyakan suami saya. Masa itulah, hati saya mula terdetik perasaan yang memang tidak menyenangkan.


“Saya dapat rasakan ada sesuatu
yang tidak kena. Puas saya paksa suami supaya ceritakan hal sebenarnya, barulah dia jelaskan Nur Zahra sakit, sama seperti arwah kakaknya. Saat itu dari rasa teruja untuk berjumpa dengan anak saya, terus saya rasa tidak bermaya.


“Rasa tak sanggup mahu menatap wajahnya. Rupa-rupanya, selepas dilahirkan Nur Zahra terus ditempatkan di Neonatal Insentive Care Unit (NICU). Hari kedua itu saya termangu dan sedikit ter ganggu dengan perkembangan anak saya,” ujarnya yang hanya melihat anaknya di NICU Hospital Sungai Buloh hari ketiga setelah yakin dan kuat untuk menghadapi saat itu.


Perlu Kumpul Kos Pembedahan
Ketika itu cerita Zuraidah keluarganya dan mentua masing-masing datang melawat dan saling memberikan kata-kata semangat. Sebenarnya, mereka juga begitu kepingin untuk menatap dan mendakap erat Nur Zahra. Namun semuanya tak mampu dilakukan kerana sehingga ke hari ini Nur Zahra masih berada di NICU.


Menurut doktor, bayinya itu perlu melalui pembedahan setelah dia berusia tiga minggu. Buat masa ini, Zuraidah dan suami diberitahu oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN) bahawa kos pembedahan sekitar RM25,000 namun pihak IJN telah bersetuju untuk memberikan subsidi berjumlah RM 24,000 untuk pembedahan tersebut. Selebihnya, Zuraidah dan suami sendiri perlu usahakan.


“Syukurlah, pihak IJN bantu biaya kos pembedahan tersebut. Cuma katanya, sekiranya keadaan Nur Zahra lebih serius daripada yang dijangkakan, berkemungkinan kos tersebut akan meningkat.


“Pun begitu, saya dan suami tetap bersetuju supaya Nur Zahra dapat menjalani pembedahan. Selebihnya kami tetap akan usahakan cara untuk mencari sejumlah wang yang diperlukan.


Apa yang penting, biarlah anak kami dapat kembali sihat dan membesar, berjalan dan bermain seperti anak-anak lain.


“Meski ketika besar nanti akan ada pembedahan lain yang perlu dijalankan, kami sebagai ibu dan bapa tetap tidak akan berputus asa untuk berusaha memberi peluang padanya merasai kehidupan normal yang sihat,” kata Zuraidah.


Suaminya yang setia berada di sisi juga mengangguk bersetuju. Sebagai ketua keluarga, bebanan yang dipikulnya begitu berat sekali. Mana mahu diusahakan jumlah kos pembedahan yang tidak dijangka, kos perubatan, perbelanjaan berulang-alik ke hospital dan sebagainya. Jauh di sudut hatinya sayu melihat pengorbanan isterinya. Seharusnya, dia perlu berehat dan berpantang di rumah.


Sebaliknya, dia perlu bersusah-payah berulang-alik dari kediaman mereka di Bukit Beruntung, Rawang ke Hospital Sungai Buloh setiap hari tanpa gagal demi Nur Zahra. Tiada istilah berpantang pada isterinya di saat-saat kritikal sebegini.


“Kami bukan dari keluarga yang senang. Isteri suri rumah dan saya pula hanya bekerja sebagai pemandu bas. Ini pun, sejak Nur Zahra lahir saya tidak pergi bekerja. Syukur, majikan saya memahami walaupun saya tidak dapat hadir bekerja. Cuma, bila dapat gaji hari bermakna tak adalah gaji sepanjang tidak bekerja ini,” ujarnya tabah.


-SUMBER-

Friday, March 16, 2012

Berteduh dalam ‘pondok buruk’

Berteduh dalam ‘pondok buruk’ 



BAGAN TERAP - Tidak layak digelar rumah, sebaliknya kediaman sepasang warga emas bersama anak lelaki mereka sejak lebih setahun yang lalu hanyalah sebuah pondok buruk, di Lot 114, Jalan Tok Khalifah, Tanjong Kepayang, Bagan Terap, di sini.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui di mana lokasi pondok buruk memandangkan kedudukannya agak tersorok daripada pandangan awam.


Namun, itu bukanlah alasan untuk menidakkan kewujudan keluarga ini kerana mereka juga harus menikmati kebajikan dan pembangunan yang diuar-uarkan seiring dengan apa yang dikecapi golongan sasar yang dibantu.


Pondok usang, tiada kemudahan air dan elektrik


Dengan keadaan tempat tinggal yang begitu daif beratapkan zink bocor yang ditutup pula dengan daun serdang dan sebahagiannya kecilnya atap nipah, pasangan warga emas Masdar Marhusin, 81 dan Zaharah Abd Rahman, 74, serta anak mereka Sabran, 53, berlindung dari hujan panas dan gelap malam.


Pondok yang bertiangkan kayu hutan, berdindingkan zink buruk, kain kanvas dan plastik serta berlantaikan tanah, papan dan tikar, inilah yang menjadi tempat berlindung tiga beranak ini.


Jika angin kuat, mereka risau pondok tempat berlindung diterbangkan angin dan ke mana arah mereka hendak lari melindungi diri jika itu benar-benar berlaku.


Manakala tempat mandi yang berdindingkan kanvas dengan dua baldi yang menadah air hujan, terletak lima meter dari pondok mereka.


Tiada kipas angin untuk menyejuk badan mahupun televisyen untuk menjamu mata dan mereka menghabiskan malam ditemani cahaya api yang dibuat daripada minyak kelapa kerana tiada kemudahan bekalan elektrik.


Jika hujan turun, air yang ditadah akan digunakan untuk minum, memasak, mencuci dan membersihkan diri, jika tidak terpaksalah Sabran mengangkut air dari surau berhampiran atas ihsan izin kariah surau berkenaan.


Menyewa sebelum tinggal di pondok


Jika sebelum ini, tiga beranak ini terpaksa berpindah randah dari satu rumah ke rumah lain kerana dihalau tuan rumah disebabkan kegagalan mereka menjelaskan sewa.


Pernah satu ketika Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan bantuan bulanan dan menampung kos sewaan rumah ketika mereka menetap di Sijangkang.


Namun mereka terpaksa berpindah pulang ke kampung apabila dihalau setelah bantuan itu dihentikan seketika dan mereka tidak mampu membayar sewa rumah berkenaan.


Impi rumah selesa atau tunggu mati? - Masdar


Menurut Masdar Marhusin, 81, setelah itu, menerusi rundingan adik beradik, mereka tiga beranak pulang ke tempat sekarang ini memandangkan di situ ada tanah warisan untuk isterinya.


“Ingatkan apabila pulang ke sini, hendak minta bantuan rumah, tetapi sampai sekarang kami menetap di sini. Mungkin sebab kami tidak tahu caranya. Tetapi bagaimanapun, ada pemimpin masyarakat yang sedia maklum masalah ini, namun tiada susulan dari itu. Kami diminta menunggu memandangkan peruntukan bantuan membina rumah masih belum ada,” katanya.


Dalam usianya yang semakin lanjut, Masdar sering kali mengimpikan untuk tinggal di rumah yang selesa di akhir-akhir usianya dan sentiasa menunggu permohonan bantuan rumah yang dijanjikan.


“Tunggu punya tunggu, lebih setahun berlalu sehinggakan kami pernah berpuasa dan berhari raya di pondok ini. Saya sudah tua, dan saya tidak pasti, penantian saya ini untuk menunggu rumah atau menunggu mati. Jika mati, tidak merasalah saya rumah kerana kami sememangnya tidak mampu untuk menyewa,” katanya.


Terima bantuan bulanan


Tidak dinafikan, keperitan hidup mereka turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama pemimpin setempat, apabila sejak tiga bulan lalu, Sabran dan Masdar menerima bantuan bulanan.


Menurut anak sulung dari empat beradik itu yang juga cacat penglihatan sebelah kiri, Sabran berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga kedua ibu bapanya, memandangkan tiga lagi adiknya berkeluarga dan turut hidup susah.


“Saya pernah berkahwin dan mempunyai enam anak, tetapi kemudiannya berpisah dan kesemua anak dijaga bekas isteri, jadi biarlah saya yang menjaga ibu ayah, kerana saya tiada tanggungan apa-apa. Alhamdulillah, sejak tiga bulan lalu, saya mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300, begitu juga ayah menerima Bantuan Orang Tua dan dengan wang itulah, kami menyara keperluan harian selain daripada pendapatan saya bekerja kampung sekitar RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya.


Dengan wang bantuan dan pendapatan yang tidak seberapa itu, mereka sekeluarga tidak akan mampu untuk membina rumah yang sempurna melainkan mengharapkan keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka.


-SUMBER-

Wednesday, March 14, 2012

Orang politik berkelahi, nasib OKU ibarat tahi

Kerenah politik tanahair tidak pernah kering di Malaysia.  Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai isu di dada akhbar, televisyen mahu pun media portal online.  Entah mengapa, sudah menjadi budaya agaknya segala masalah di Malaysia selalunya diselesaikan (baca: dicipta) oleh orang politik.  Telagah dan polemik tidak sihat seakan sebati dan adakalanya keanak-anakan.  Skandal seks, tuduh menuduh, fitnah dan adu domba sering menduduki carta teratas jika dibandingkan dengan perjuangan membela nasib rakyat terbanyak apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang cukup mencekik golongan marhaen.

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah di antara mangsa perang tidak berfaedah ini.  Nasib mereka kian terumbang ambing.  Yang selalu digula-gulakan di media oleh pemerintah tidak kira kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat ialah membela kebajikan rakyat.  Malah kerajaan baru-baru ini menyalurkan wang tunai ke sekolah dan pusat pengajian untuk dinikmati oleh segolongan rakyat sahaja.  Bagaimana nasib anak-anak kurang upaya yang terlantar dan tidak layak masuk sekolah?
Berhujah bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah ada sangatlah dangkal malah istilah "bantuan" itu sendiri adalah sangat hina.  OKU adalah rakyat Malaysia yang berhak menikmati hasil mahsul negara ini SAMA dengan yang lain.  Menyalurkan bantuan ke badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menaungi sebahagian jenis kecacatan juga tidak mencapai ke seluruh sasaran.  Itu belum lagi masuk sistem pendidikan yang ternyata masih jauh ketinggalan walaupun kononnya Malaysia sebuah negara yang maju.

Di Barat, sekolah khas untuk OKU adalah percuma.  Ibu bapa yang punya anak OKU boleh bekerja seperti orang lain kerana urusan persekolahan dari menjemput hinggalah menghantar pulang diuruskan dengan cukup teratur.  Penulis berpeluang membawa anak menjalani rawatan di Erkang Hospital, Beijing  (gambar kiri) dan di sana pesakit diberi tempat tinggal untuk memudahkan proses rawatan dan latihan.  Ini membuatkan penulis membayangkan jika di Malaysia terdapatnya pusat serenti untuk program pemulihan bagi penagih dadah mengapa tidak ada pusat pemulihan untuk OKU?  Pusat Serenti wujud hampir di setiap daerah dan belanjanya pastilah besar dan jika penagih dadah dianggap pesakit bagaimana dengan OKU?

Amat panjang jika mahu dihuraikan dan beribu OKU di Malaysia menantikan sesuatu yang istimewa oleh pemerintah.  Bukannya pertolongan yang "bermotifkan politik".  Contohnya baru-baru ini ada OKU diberhentikan bantuannya kerana dikatakan penyokong pembangkang.  Sebuah parti politik telah menggerakkan usaha membantu OKU ini.  Langkah ini sangat dipuji akan tetapi mengapa kita harus membantu apabila ia berkaitan dengan hal-hal politik sahaja?  Masih ramai yang dinafikan hak mendapatkan kemudahan.  Bukan apabila ada kena-mengena dengan politik sahaja.  Seperti sebuah parti politik yang bergegas membantu keluarga seorang imam yang dihukum penjara setahun kerana membaling selipar di dalam mahkamah.  Dengan tidak memperkecilkan usaha-usaha pihak yang disebutkan tadi, adalah sangat baik jika orang politik memulakan tugas di kawasan mereka, mendekati rakyat yang memerlukan sebelum terbitnya perkara-perkara sebegini.

Mungkin contoh-contoh yang akan diberikan selepas ini juga terkeluar dari topik artikel ini tetapi penulis bermaksud untuk mengukuhkan hujah tentang pertelagahan kebudak-budakan amat merugikan rakyat apatah lagi OKU.  Jika mahu membangkitkan sesuatu isu haruslah ikhlas dalam memperjuangkan rakyat bukan mempolitikkannya. Memperjuangkan isu lambakan produk tidak bermutu di pasaran adalah baik tetapi haruslah menyeluruh ke setiap pasaraya bukan hanya menyerang kedai 1Malaysia sahaja yang memang terbukti menjual produk rendah mutu. Bangkitkan juga penjualan makanan tidak berkhasiat yang dijual penjaja di luar pagar sekolah untuk memancing anak -anak kita.

Penulis percaya masih ada harapan untuk Malaysia.  Kepada semua ahli politik walau apa pun idealismenya haruslah mengangkat rakyat sebagai agenda prioritinya.  Bukan benda-benda bodoh.  Bukan berkelahi sehingga rakyat seperti OKU terbiar kering seperti tahi.  Rakyat Malaysia rata-ratanya baik dan jika pemerintahnya baik nescaya fajar sejahtera akan menyingsing dan rakyat pelbagai lapisan terutama OKU dilimpahi cahaya kedamaian.

*Ronasina (gambar kanan) dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli, adalah penulis dan kartunis, juga pengasas Kempen Hope2walk