Sunday, March 18, 2012

Hasrat terima bantuan terkubur





KUANTAN – Seorang warga emas mendakwa dirinya sering terpinggir daripada menerima sebarang sumbangan pihak tertentu walaupun melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkannya.

Salleh Drameri, 82, yang juga anak tempatan Kampung Panching berkata, dia kecewa apabila namanya sering tidak tersenarai sebagai penerima bantuan di kawasan itu.

“Bukan sahaja kecewa, malah pelik memandangkan sebagai warga emas yang tiada pendapatan tetap, saya diabaikan begitu sahaja.

“Saya juga kecewa kerana jasa saya tidak pernah dikenang terutama kerajaan memandangkan saya pernah berkhidmat sebagai anggota keselamatan untuk menjaga keamanan negara sekitar 1951 hingga 1955.

“Hasrat untuk menerima bantuan dan sumbangan juga kerap terkubur memandangkan sering dikatakan tidak layak,” katanya kepada Sinar Harian.

Terbaru, dia turut kecewa kerana beberapa permohonan bantuan dilakukannya termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia ditolak atas alasan tidak dapat diterima.

“Bukan saya beria meminta bantuan, tetapi pihak tertentu yang menyarankan saya berbuat demikian atas alasan warga emas dan layak.

“Pabila beberapa penduduk kampung ini menerima bantuan, nama saya tetap tiada kerana dikatakan tercicir selain perlu tunggu pada masa akan datang.

“Saya tidak memerlukan kemewahan, cuma bantuan untuk meneruskan kehidupan bersama isteri yang juga warga emas,” katanya.

Sementara itu katanya, dia terpaksa mencari kerja untuk menyara keluarga, namun faktor usia menyebabkan dia hanya mampu membuat kerja-kerja kampung kerana gagal mendapatkan pekerjaan sesuai.

“Setakat ini, saya hanya menerima sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun bantuan lain tidak pernah diperoleh.

“Sekiranya betul-betul tidak layak, saya akur. Namun, saya tidak mahu berhadapan dengan sesetengah pihak yang sudah menabur janji untuk membantu, bagaimanapun apabila sampai masa, mereka hilang entah ke mana. Ada sesetengah daripada mereka pula buat tidak tahu sahaja,” katanya.


No comments:

Post a Comment