Friday, March 16, 2012

Berteduh dalam ‘pondok buruk’

Berteduh dalam ‘pondok buruk’ 



BAGAN TERAP - Tidak layak digelar rumah, sebaliknya kediaman sepasang warga emas bersama anak lelaki mereka sejak lebih setahun yang lalu hanyalah sebuah pondok buruk, di Lot 114, Jalan Tok Khalifah, Tanjong Kepayang, Bagan Terap, di sini.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui di mana lokasi pondok buruk memandangkan kedudukannya agak tersorok daripada pandangan awam.


Namun, itu bukanlah alasan untuk menidakkan kewujudan keluarga ini kerana mereka juga harus menikmati kebajikan dan pembangunan yang diuar-uarkan seiring dengan apa yang dikecapi golongan sasar yang dibantu.


Pondok usang, tiada kemudahan air dan elektrik


Dengan keadaan tempat tinggal yang begitu daif beratapkan zink bocor yang ditutup pula dengan daun serdang dan sebahagiannya kecilnya atap nipah, pasangan warga emas Masdar Marhusin, 81 dan Zaharah Abd Rahman, 74, serta anak mereka Sabran, 53, berlindung dari hujan panas dan gelap malam.


Pondok yang bertiangkan kayu hutan, berdindingkan zink buruk, kain kanvas dan plastik serta berlantaikan tanah, papan dan tikar, inilah yang menjadi tempat berlindung tiga beranak ini.


Jika angin kuat, mereka risau pondok tempat berlindung diterbangkan angin dan ke mana arah mereka hendak lari melindungi diri jika itu benar-benar berlaku.


Manakala tempat mandi yang berdindingkan kanvas dengan dua baldi yang menadah air hujan, terletak lima meter dari pondok mereka.


Tiada kipas angin untuk menyejuk badan mahupun televisyen untuk menjamu mata dan mereka menghabiskan malam ditemani cahaya api yang dibuat daripada minyak kelapa kerana tiada kemudahan bekalan elektrik.


Jika hujan turun, air yang ditadah akan digunakan untuk minum, memasak, mencuci dan membersihkan diri, jika tidak terpaksalah Sabran mengangkut air dari surau berhampiran atas ihsan izin kariah surau berkenaan.


Menyewa sebelum tinggal di pondok


Jika sebelum ini, tiga beranak ini terpaksa berpindah randah dari satu rumah ke rumah lain kerana dihalau tuan rumah disebabkan kegagalan mereka menjelaskan sewa.


Pernah satu ketika Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan bantuan bulanan dan menampung kos sewaan rumah ketika mereka menetap di Sijangkang.


Namun mereka terpaksa berpindah pulang ke kampung apabila dihalau setelah bantuan itu dihentikan seketika dan mereka tidak mampu membayar sewa rumah berkenaan.


Impi rumah selesa atau tunggu mati? - Masdar


Menurut Masdar Marhusin, 81, setelah itu, menerusi rundingan adik beradik, mereka tiga beranak pulang ke tempat sekarang ini memandangkan di situ ada tanah warisan untuk isterinya.


“Ingatkan apabila pulang ke sini, hendak minta bantuan rumah, tetapi sampai sekarang kami menetap di sini. Mungkin sebab kami tidak tahu caranya. Tetapi bagaimanapun, ada pemimpin masyarakat yang sedia maklum masalah ini, namun tiada susulan dari itu. Kami diminta menunggu memandangkan peruntukan bantuan membina rumah masih belum ada,” katanya.


Dalam usianya yang semakin lanjut, Masdar sering kali mengimpikan untuk tinggal di rumah yang selesa di akhir-akhir usianya dan sentiasa menunggu permohonan bantuan rumah yang dijanjikan.


“Tunggu punya tunggu, lebih setahun berlalu sehinggakan kami pernah berpuasa dan berhari raya di pondok ini. Saya sudah tua, dan saya tidak pasti, penantian saya ini untuk menunggu rumah atau menunggu mati. Jika mati, tidak merasalah saya rumah kerana kami sememangnya tidak mampu untuk menyewa,” katanya.


Terima bantuan bulanan


Tidak dinafikan, keperitan hidup mereka turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama pemimpin setempat, apabila sejak tiga bulan lalu, Sabran dan Masdar menerima bantuan bulanan.


Menurut anak sulung dari empat beradik itu yang juga cacat penglihatan sebelah kiri, Sabran berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga kedua ibu bapanya, memandangkan tiga lagi adiknya berkeluarga dan turut hidup susah.


“Saya pernah berkahwin dan mempunyai enam anak, tetapi kemudiannya berpisah dan kesemua anak dijaga bekas isteri, jadi biarlah saya yang menjaga ibu ayah, kerana saya tiada tanggungan apa-apa. Alhamdulillah, sejak tiga bulan lalu, saya mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300, begitu juga ayah menerima Bantuan Orang Tua dan dengan wang itulah, kami menyara keperluan harian selain daripada pendapatan saya bekerja kampung sekitar RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya.


Dengan wang bantuan dan pendapatan yang tidak seberapa itu, mereka sekeluarga tidak akan mampu untuk membina rumah yang sempurna melainkan mengharapkan keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka.


-SUMBER-

No comments:

Post a Comment