Saturday, March 17, 2012

Lahir Dengan Penyakit kronik Nur Zahra Berjuang Untuk Hidup

 

“Kadang-kadang saya pernah tertanya-tanya di hati apa salah dan dosa saya sehingga diuji sebegini hebat sekali. Belum pun terubat kesedihan setelah kehilangan anak sulung, Robbul Izzati Idris awal tahun lalu, kini hati sayu pilu melihat permata kedua juga ditimpa malang seperti arwah kakaknya dulu.


"Sukarnya untuk melalui ujian ini. Ya Allah, tabahkan hatiku dan suami untuk melalui semua ini dengan redha dan pasrah,” rintih Zuraidah Abd Rahman, 25, sambil ditenangkan suaminya, Idris Md. Jadi, 30 tahun.


Tersekat-sekat suaranya menahan sebak ketika meluahkan rasa hati. Sebolehnya, dia mahu permata yang diberi nama Nur Zahra Damia yang baru berusia 17 hari (ketika temu ramah) ini sihat seperti bayi-bayi yang lain. Membesar dengan sihat dan ceria.


Betapa teringin hatinya untuk melayani keletah anak yang sedang membesar. Tapi untuk merasai semua itu, ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Pertama sekali dia perlu berusaha mengumpulkan sejumlah wang untuk pembedahan anaknya.


Nur Zahra, dilahirkan melalui pembedahan. Berbanding arwah kakaknya dahulu, dilahirkan tidak cukup bulan kerana dirinya menghidap kencing manis sebelum melahirkan. Namun, seperti arwah Robbul Izzati yang mengalami masalah jantung, paru-paru dan buah pinggang, Nur Zahra juga menghidap komplikasi kesihatan yang agak banyak.


Paling kronik, anak kecil ini menghidap masalah jantung, yang mana salah satu saluran jantungnya tersumbat. Selain itu Nur Zahra turut berdepan masalah pada buah pinggang dan jari.


“Kata doktor, tumbesaran jari-jarinya tidak seimbang. Jari di bahagian kaki panjang manakala ibu jari tangannya seakan terlipat. Tetapi, syukurlah kerana jari tersebut masih bergerak, tidak terlekat. Kesemua masalah yang dihadapi ini kebanyakan nya melibatkan bahagian tubuh di sebelah kiri.


“Walau apa pun masalah kesihatan yang dihidapi saya tetap bersyukur kerana Nur Zahra lahir cukup bulan dan masalah kesihatannya tidak begitu banyak berbanding dengan arwah kakaknya dahulu.


“Cuma, saya amat berharap pembedahan pada saluran jantungnya itu akan berjaya dan menyelamatkan nyawanya,” kata Zuraidah penuh keredhaan biarpun mengetahui anaknya akan menghadapi masalah perkembangan otak seumur hidupnya.


Terdetik Perasaan Tidak Menyenangkan
Ibu muda ini begitu tabah sekali. Jujurnya dia mengakui, pengalaman lalu juga yang membuatkannya tabah seperti hari ini. Meski pada awalnya, dia sukar untuk menerima hakikat untuk kali ini, namun melihat si kecil yang tidak sempat didakap ataupun disusukan sebaik dilahirkan, Zuraidah perlu tabah. Kekuatan dan semangat juang Nur Zahra juga bergantung kepada emosinya sebagai ibu.


Imbas kembali ketika saat hamil, Zuraidah berkata dia tidak menghadapi masa lah atau komplikasi melainkan dia menghidap kencing manis. Cuma, tahapnya tidak begitu membimbangkan.


“Malah ketika melakukan imbasan bayi, doktor pakar juga tidak mengenal pasti sekiranya bayi dalam kandungan saya menghadapi sebarang masalah kesihatan. Justeru itu, dia tidak begitu bimbang dengan kemungkinan anak keduanya meng alami nasib yang serupa dengan arwah kakaknya.


“Itulah, takdir Tuhan tidak mampu kita tolak. Ketika Nur Zahra lahir, saya tidak diberi peluang untuk dukung mahupun menyusukannya. Hanya suami berpeluang untuk mengazankan di telinga Nur Zahra. Ceritanya, ketika itu dia perasan kaki dan bibirnya biru, seakan lebam. Dalam hati suaminya terdetik dia mungkin ada menghidap masalah kesihatan.


“Saya pula, ternanti-nanti bila jururawat akan bawa anak saya kepada saya. Masuk hari kedua, saya lihat jururawat kerap kali datang bertanyakan suami saya. Masa itulah, hati saya mula terdetik perasaan yang memang tidak menyenangkan.


“Saya dapat rasakan ada sesuatu
yang tidak kena. Puas saya paksa suami supaya ceritakan hal sebenarnya, barulah dia jelaskan Nur Zahra sakit, sama seperti arwah kakaknya. Saat itu dari rasa teruja untuk berjumpa dengan anak saya, terus saya rasa tidak bermaya.


“Rasa tak sanggup mahu menatap wajahnya. Rupa-rupanya, selepas dilahirkan Nur Zahra terus ditempatkan di Neonatal Insentive Care Unit (NICU). Hari kedua itu saya termangu dan sedikit ter ganggu dengan perkembangan anak saya,” ujarnya yang hanya melihat anaknya di NICU Hospital Sungai Buloh hari ketiga setelah yakin dan kuat untuk menghadapi saat itu.


Perlu Kumpul Kos Pembedahan
Ketika itu cerita Zuraidah keluarganya dan mentua masing-masing datang melawat dan saling memberikan kata-kata semangat. Sebenarnya, mereka juga begitu kepingin untuk menatap dan mendakap erat Nur Zahra. Namun semuanya tak mampu dilakukan kerana sehingga ke hari ini Nur Zahra masih berada di NICU.


Menurut doktor, bayinya itu perlu melalui pembedahan setelah dia berusia tiga minggu. Buat masa ini, Zuraidah dan suami diberitahu oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN) bahawa kos pembedahan sekitar RM25,000 namun pihak IJN telah bersetuju untuk memberikan subsidi berjumlah RM 24,000 untuk pembedahan tersebut. Selebihnya, Zuraidah dan suami sendiri perlu usahakan.


“Syukurlah, pihak IJN bantu biaya kos pembedahan tersebut. Cuma katanya, sekiranya keadaan Nur Zahra lebih serius daripada yang dijangkakan, berkemungkinan kos tersebut akan meningkat.


“Pun begitu, saya dan suami tetap bersetuju supaya Nur Zahra dapat menjalani pembedahan. Selebihnya kami tetap akan usahakan cara untuk mencari sejumlah wang yang diperlukan.


Apa yang penting, biarlah anak kami dapat kembali sihat dan membesar, berjalan dan bermain seperti anak-anak lain.


“Meski ketika besar nanti akan ada pembedahan lain yang perlu dijalankan, kami sebagai ibu dan bapa tetap tidak akan berputus asa untuk berusaha memberi peluang padanya merasai kehidupan normal yang sihat,” kata Zuraidah.


Suaminya yang setia berada di sisi juga mengangguk bersetuju. Sebagai ketua keluarga, bebanan yang dipikulnya begitu berat sekali. Mana mahu diusahakan jumlah kos pembedahan yang tidak dijangka, kos perubatan, perbelanjaan berulang-alik ke hospital dan sebagainya. Jauh di sudut hatinya sayu melihat pengorbanan isterinya. Seharusnya, dia perlu berehat dan berpantang di rumah.


Sebaliknya, dia perlu bersusah-payah berulang-alik dari kediaman mereka di Bukit Beruntung, Rawang ke Hospital Sungai Buloh setiap hari tanpa gagal demi Nur Zahra. Tiada istilah berpantang pada isterinya di saat-saat kritikal sebegini.


“Kami bukan dari keluarga yang senang. Isteri suri rumah dan saya pula hanya bekerja sebagai pemandu bas. Ini pun, sejak Nur Zahra lahir saya tidak pergi bekerja. Syukur, majikan saya memahami walaupun saya tidak dapat hadir bekerja. Cuma, bila dapat gaji hari bermakna tak adalah gaji sepanjang tidak bekerja ini,” ujarnya tabah.


-SUMBER-

No comments:

Post a Comment